HUKUM-HUKUM SOLAT ORANG YANG BERMUSAFIR
1.
Menurut istilah syara’, musafir atau berpergian ialah menempuh satu jarak
yang dapat mengubah hukum seperti qasar dan jamak solat, boleh berbuka pada
bulan Ramadhan, boleh menyapu diatas sepasang khuf, tidak wajib menunaikan
solat Jumaat dan haram bagi wanita yang merdeka keluar rumah tanpa ditemani oleh
suami atau mahram.
2.
Ulama-ulama fiqh telah berbeza pendapat tentang jarak bermusafir dari
segi syara’. Sesetengah ulama mengatakan, jaraknya ialah selama tiga hari perjalanan
bermula dari pagi hingga petang dengan menunggang unta. Ada yang mengatakan, jaraknya
kira-kira 89 kilometer. Inilah yang mendorong para ulama feqah untuk melihat
dalil-dalil yang berkaitan dengan masalah ini dengan lebih teliti. Sebelum
membuat keputusan, mereka terlebih dahulu melakukan kajian seterusnya
mengemukakan pendapat-pendapat yang disokong dengan dalil-dalil yang kuat dan
disepakati riwayatnya. Masalah musafir ini sangat penting disisi syara’ dan
disusun hukum-hukum yang khas berkaitannya. Menurut pandangan atau adat
kebiasaan masyarakat, jarak musafir ialah 3 farsakh paling minima, dan 1
farsakh bersamaan tiga batu, dan satu batu bersamaan dengan 1850 meter,
atau 1 farsakh (3 batu) lebih kurang 5 kilometer setengah.
3.
Qasar atau meringkaskan solat ketika bermusafir adalah sedekah dari
Allah SWT yang mana Allah SWT anugerahkan kepada hamba-hambanya. Ia adalah perhatian
dan keutamaan dari Allah SWT yang diberikan kepada para musafir kerana pada
asalnya, bermusafir adalah satu kesusahan dan aktiviti yang memberatkan yang
perlu dihadapi. Walaupun sesuai dengan perkembangan zaman dimana terdapat pelbagai
kemudahan yang dapat meringankan kesusahan ketika musafir seperti menaiki
kereta, kapal terbang, keretapi, atau kapal. Dan ini tidak lagi menyusahkan
bahkan menyenangkan. Namun hukum asal musafir itu adalah memberatkan atau
menyusahkan dan ianya dikira berdasarkan keadaan itu.
4.
Para ulama fiqh berselisih pendapat mengenai hukum solat qasar dalam
perjalanan. Sesetengah ulama mengatakan hukumnya adalahnya wajib. Sesetengah
yang lain pula mengatakan hukumnya sunat muakkad dan semuanya mempunyai dalil. Tetapi
solat qasar hanya dibolehkan kepada orang yang bermusafir dengan tujuan musafirnya
untuk melakukan kebaikan, seperti pergi menunaikan ibadah haji, berjihad, berniaga
dan sebagainya. Menurut sebahagian besar ulama fiqh mengatakan orang yang
bermusafir dengan tujuan melakukan maksiat tidak dibolehkan mengqasar solat
mereka.
5.
Orang yang bermusafir hanya boleh menqasar solat setelah ia
meninggalkan rumah dan desa mahupun kota yang ia keluar darinya. Dan ketika
pulang ia masih boleh mengqasar solatnya sebelum ia masuk ke rumah, desa dan
kota tempat tinggalnya.
6.
Seorang musafir boleh mengqasar solatnya selama mana ia masih dalam
perjalanan. Jika ia tinggal di suatu tempat kerana menunggu sesuatu urusan dan
tidak tahu bila akan selesai, ia masih tetap boleh mengqasar solatnya sehingga
beberapa tahun. Tetapi ada yang mengatakan hadnya hanya sehingga 20 hari.
Setelah itu ia perlu melakukan solat seperti biasa. Dan ada pula yang
mengatakan sebaliknya, seperti yang akan diterangkan nanti ketika membahas
dalil-dalil dan hujah-hujahnya. Contohnya, seperti seseorang yang bermusafir
untuk berniaga, atau untuk mengirim surat, atau untuk urusan-urusan tertentu,
lalu ia berkata, “Esok aku akan pergi, mungkin lusa aku juga akan pergi.”
Dan ia akan terus berharap tanpa kepastian.
Tetapi jika ia berniat ingin tinggal selama 15 hari,
maka menurut ulama-ulama dari kalangan mazhab Hanafi, Ats-Tsauri, Al-Muzani dan
Laits bin Sa’ad, ia wajib menyempurnakan solatnya dan tidak boleh solat secara
qasar. Mereka memiliki dalil yang kuat tentang hal itu.
Ada sebahagian ulama fiqh yang lain berpendapat,
apabila ia berniat untuk tinggal selama 4 hari tidak termasuk hari tiba dan
hari pulang, maka ia juga mesti menyempurnakan solat (tidak qasar) dan dia tidak dikira sebagai musafir. Tetapi jika
ia berniat kurang daripada itu, maka ia termasuk dalam kategori orang yang
bermusafir dan ini adalah pendapat yang kuat.
7.
Wajib keatas seseorang musafir menyempurnakan solatnya kerana 3 keadaan
berikut:
v Niat untuk menetap dalam waktu
tertentu.
v Jika berimamkan seorang yang
bermukim atau musafir yang niat untuk menetap, dia hendaklah solat sepenuhnya
mengikut imam tersebut dan tidak mengqasarkannya.
v Pulang ke tempat dari mana ia
berangkat, atau sampai di tanah air dimana ia dilahirkan atau tinggal di tempat
isterinya atau sengaja tinggal di tempat itu dan tidak pergi meninggalkannya.
8.
Menurut ulama-ulama dari kalangan mazhab Hanbali dan sesetengah yang
lain, solat musafir atau bukan musafir dikira mulai awal waktu. Sedangkan menurut
ulama-ulama yang lain, ianya dikira pada akhir waktu. Contohnya, orang yang bermusafir
sebelum Maghrib dan belum menunaikan solat asar, menurut ulama-ulama dari
mazhab Hanbali ia mestilah solat asar dalam perjalanannya sebanyak 4 rakaat
kerana waktu asar masuk ketika ia belum bermusafir lagi. Pendapat sesetengah
ulama yang lain mengatakan bahawa solat asar hanya 2 rakaat kerana pegangan bermusafir
pada akhir waktu.
9.
Tidaklah dikira niat orang yang mengikuti, seperti pasukan tentera atau
hamba (pelayan), kecuali ia tahu niat orang yang diikutinya, iaitu niat untuk
menetap atau niat bermusafir. Sama dengan kategori tersebut adalah seorang
wanita yang mengikut suaminya atau anak yang ikut ayahnya dan sebagainya.
10. Sesiapa yang keluar rumah tanpa
mengetahui hala tuju atau tujuannya untuk bermusafir, ia tidak boleh mengqasarkan
solat, walaupun perjalanan itu berlaku selama beberapa tahun.
11. Tidak makruh hukumnya solat sunat
bagi orang yang mengqasarkan solat dalam perjalanan, baik sunat rawatib mahupun
sunat-sunat yang lain. Kerana Nabi SAW tidak pernah meninggalkan 2 rakaat solat
Sunat fajar, witir, dan solat malam ketika bermusafir.
12. Hukum bermusafir pada hari Jumaat
sebelum masuk waktu solat Jumaat dibolehkan. Jika sudah masuk waktu azan, hukum
bermusafir dan meninggalkan solat Jumaat adalah haram.
13. Qasar dibolehkan hanya pada solat
4 rakaat iaitu Zohor, Asar, dan Isyak, iaitu dengan menjadikannya 2 rakaat
sahaja. Namun bagi solat Maghrib tidak boleh diqasar, ia tetap 3 rakaat dan
solat Subuh tetap 2 rakaat.
MENJAMAK DIANTARA DUA SOLAT
1.
Para ulama bersepakat bahawa jamak taqdim antara solat Zohor dan solat
Asar di Arafah dan jamak ta’khir antara solat Maghrib dan solat Isyak di
Muzdalifah pada hari Arafah hukumnya
boleh. Bahkan ianya sunat muakkad.
Jamak takdim bermaksud: membawa solat yang kedua dan
menunaikannya dalam solat yang pertama.
Jamak ta’khir bermaksud: membawa solat yang pertama dan
menunaikannya dalam waktu solat yang kedua.
2.
Berkata jumhur ulama fiqh sebagaimana yang diketahui bahawa solat yang
boleh dijamakkan ialah solat Zohor dengan Asar, dan solat Maghrib dengan Isyak.
Oleh itu tidak sah dijamakkan solat Subuh dengan solat sebelum atau selepasnya.
Begitu juga tidak sah dijamakkan solat Asar dengan solat Maghrib. Ianya adalah satu
sunnah kerana Nabi SAW selalu melakukan solat jamak ketika sedang bermusafir. Jika
baginda SAW bermusafir setelah matahari condong ke barat, Nabi SAW akan menjamak
secara taqdim solat Zohor dan Asar. Dan jika baginda bermusafir sebelum
matahari condong ke barat (masuk waktu zohor), baginda akan menunaikan jamak
ta’khir. Begitu jika jika Baginda SAW bermusafir pada waktu malam, maka ianya
sama seperti waktu Zohor dan Asar. Sebahagian besar ulama fiqh berpendapat bahawa
ini adalah yang sepatutnya dilakukan seseorang musafir. Dan sama seperti itu
adalah, orang yang singgah di suatu tempat atau bandar sambil menunggu untuk perjalanan
pada keesokan hari atau lusanya. Sesetengah ulama pula mengatakan bahawa
menjamakkan solat itu mesti dilakukan ketika dalam perjalanan. Kerana ketika
Nabi SAW singgah di Mina ketika menunaikan haji, baginda SAW tidak mengqasar
dan menjamak solatnya. Oleh itu, jika perjalanan yang ditempuhi itu pendek dan
tidak memberatkan, atau hanya singgah berehat di sesuatu tempat atau untuk
menyelesaikan urusannya, maka dianjurkan untuk tidak menjamak solatnya. Ini
kerana untuk mengelakkan dari perdebatan yang panjang di kalangan ulama fiqh.
Ketika berada di suatu tempat dan ingin menjamakkan
solat, kita boleh memilih untuk melakukan jamak taqdim atau jamak ta’khir.
3.
Boleh menjamak antara solat Maghrib dan solat Isyak dengan alasan
turunnya hujan yang sangat lebat, gelap-gelita yang amat sangat, jalan yang
terlalu berlumpur, dan sebab-sebab lain yang boleh membahayakan orang yang
solat. Tetapi jika hanya hujan yang tidak lebat dan boleh menaiki kereta, cuaca
yang amat gelap tetapi ia tinggal di kota yang terang dengan lampu-lampunya,
maka ia tidak boleh menjamak solatnya. Kerana mesti ada keuzuran yang
benar-benar barulah dibolehkan solat secara jamak. Dalam keadaan ini, solat
jamak (Maghrib dan Isyak) mesti dilakukan bersama-sama imam di masjid dan tidak
boleh dilakukan di rumah kerana tidak uzur baginya. Pendapat sesetengah ulama
lain juga mengaitkan masalah ini dengan solat Zohor dan Asar.
Sebahagian ulama fiqh tidak bersetuju yang solat jamak
dilakukan secara mutlak kecuali pada hari Arafah. Para ulama dengan pendapat yang
kuat mengatakan boleh jamak solat Zohor bersama Asar dan jamak solat Maghrib
bersama solat Isyak.
4.
Imam Malik, Imam Ahmad dan beberapa ulama dari mazhab Syafie
membenarkan untuk menjamakkan solat Zohor dengan Asar dan solat Maghrib dengan
Isyak, jamak takdim atau jamak ta’khir bagi orang sakit yang merasa susah untuk
menunaikan solat. Ini adalah rahmat yang besar dari Allah SWT kepada hambanya
yang sakit.
5.
Banyak ulama-ulama fiqh yang membolehkan solat secara jamak kerana darurat
dan yang bukan bermusafir. Diantara contohnya, polis dan askar yang menjaga
keamanan, mereka yang sedang dalam ujian dan pelajar yang mengendalikan
alat-alat mekanikal dan elektronik yang mana jika ia meninggalkannya akan
membawa mudharat. Semua keadaan itu yang berlaku dalam masa yang panjang dan
tidak sempat untuk melakukan solat maka ia boleh menjamak solatnya. Kerana
firman Allah SWT:
$tBur
@yèy_
ö/ä3øn=tæ
Îû
ÈûïÏd9$#
ô`ÏB
8ltym
4 ÇÐÑÈ
Yang bermaksud, “Dia sekali-kali tidak menjadikan
untuk kamu suatu kesempitan dalam agama.” (Al-Hajj: 78)
DALIL-DALIL DAN PENDAPAT-PENDAPAT
Riwayat dari Ibnu Umar r.anhma, ia berkata:
“Aku pernah menemani Nabi SAW dalam perjalanan dan
baginda hanya melakukan solat dua rakaat. Abu Bakar, Umar dan Usman r.anhum juga
demikian.” (HR. Al-Bukhari dan
Muslim).
Bersumber dari Abu Ya’la bin Umayyah, ia berkata, “Aku
bertanya kepada Umar bin Al-Khattab tentang firman Allah surah An-Nisa: ayat 101:
}§øn=sù
ö/ä3øn=tæ
îy$uZã_
br&
(#rçÝÇø)s?
z`ÏB
Ío4qn=¢Á9$#
÷bÎ)
÷LäêøÿÅz
br&
ãNä3uZÏFøÿt
tûïÏ%©!$#
(#ÿrãxÿx.
4
ÇÊÉÊÈ
“Tidaklah mengapa kamu mengqasar solat mu, jika kamu
takut diserang orang-orang kafir.”
Pada hal manusia berasa aman. Umar ra berkata: Seperti
halnya kamu, aku juga merasa hairan padanya.” Lalu aku tanyakan hal itu kepada
Rasulullah SAW. Baginda bersabda:
((صدقة تصدق الله بها
عليكم فأقبلوا صدقته))
“Itu merupakan sedekah yang
diberikan oleh Allah kepada kamu. Maka terimalah sedekah-Nya itu.” (HR. Jamaah,
kecuali Al-Bukhari).
Hadis Ibnu Umar r.anhma tadi menunjukkan bahawa Nabi
SAW selalu mengqasar solat ketika dalam perjalanan dan tidak pernah solat
secara penuh (tidak qasar) walaupun sekali dan perkara itu terus dilakukan
baginda SAW sehingga kewafatannya. Begitu juga dengan Abu Bakar, Umar, dan
Usman r.anhum dan ini bersesuaian dengan hadis Ibnu Umar ra tadi. Saidina Usman
ra selalu mengqasar solat dalam musafir kecuali di Mina kerana ia mempunyai
isteri di sana kerana tidak boleh mengqasar bagi musafir yang tinggal di sesuatu tempat atau
mempunyai isteri disana. Ini adalah seperti yang dikatakan oleh Ibnu Qayyim.
Para ulama fiqh berbeza pendapat tentang hukum qasar
solat. Ulama-ulama dari kalangan mazhab Hanafi berpendapat, qasar solat ketika
perjalanan hukumnya wajib dengan bersandar pendapat dari Ali dan Umar r.anhma.
Dan menurut An-Nawawi, pendapat tersebut diikuti oleh kebanyakan ulama. Kata
Al-Khitabi dalam kitabnya, Ma’alim Al-Sunan, sebahagian besar ulama
salaf dan para ulama fiqh Mesir berpendapat bahawa qasar solat ketika musafir
hukumnya wajib. Inilah pendapat Ali, Umar, Ibnu Umar, Ibnu Abbas, Umar bin
Abdul Aziz, Qatadah dan Al-Hassan. Itulah juga yang dilakukan oleh Nabi SAW
ketika sedang bermusafir. Walaupun ada hadis yang menyebut baginda SAW solat
secara penuh, ianya adalah tidak sahih.
Hammad bin Sulaiman mengatakan, “Orang yang solat 4
rakaat ketika dalam musafir perlu mengulangi solatnya.” Dan berkata Imam Malik,
“Ia mesti mengulangi selama masih dalam waktunya.”
Imam As-Syafie, Imam Malik, Imam Ahmad dan beberapa
ulama yang lain mengatakan qasar itu merupakan satu rukhsah (keringanan).
Pendapat ini dikutip dari Aisyah, Usman, dan Ibnu Abbas r.anhum.
Ibnu Al-Munzir berkata, “Para ulama sepakat bahawa
seseorang tidak boleh qasar solat Subuh dan Maghrib.” Dan kata Imam An-Nawawi,
“Majoriti ulama berpendapat hukum qasar boleh dalam setiap musafir yang tidak
dilarang oleh syariat Islam.” Yang jelas, demi mengikuti sunnah dan keluar dari
khilaf (percanggahan pendapat), kita sebaiknya mesti melakukan solat
secara qasar ketika bermusafir.
Setelah mengemukakan dalil dan hujah kedua belah
pihak, Asy-Syaukani mengatakan: “Berdasarkan sejumlah pendapat di atas, saya
lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan mengqasar solat ketika musafir
adalah wajib. Pendapat yang mengatakan lebih baik solat secara penuh ditolak
kerana berlawanan dengan perbuatan Nabi SAW yang selalu mengqasar solat dalam
setiap perjalanannya. Dan apa yang dilakukan oleh Nabi SAW adalah pasti sesuatu
yang paling sempurna.”
Diriwayatkan dari Umar ra, ia berkata, “Solat safar(musafir),
solat dhuha, solat aidilfitri dan solat jumaat itu 2 rakaat. Semua mesti
dilakukan secara penuh tanpa dikurangkan, ini diambil melalui sabda Nabi
Muhammad SAW.” (HR. Ahmad, An-Nasa’i
dan Ibnu Majah).
Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.anhma, ia berkata,
Rasulullah SAW bersabda:
(( إن الله يحب أن تؤتى رخصه كما يكره أن تؤتى
معصيته ))
“Sesungguhnya Allah itu suka jika manusia memanfaatkan
kemurahan-Nya, sebagaimana Dia tidak suka jika manusia berbuat maksiat
kepada-Nya.” (HR. Ahmad, Ibnu Hibban, dalam Sahih Ibnu
Hibban, dan Ibnu Khuzaimah dalam Sahih Ibnu Khuzaimah).
Hadis pertama tadi menunjukkan bahawa solat musafir
itu dua rakaat dan ini berlaku untuk solat Zuhur, Asar, dan Isyak dan ini
menguatkan pendapat yang mewajibkan solat secara qasar keyika musafir.
Dan pada hadis kedua pula menunjukkan keringanan solat
dalam perjalanan adalah satu rukhsah (keringanan) dari Allah SWT, dan
Allah suka jika rukhsah darinya tersebut diamalkan dan dimanfaatkan
supaya setiap Muslim itu merasakan bahawa Allah SWT bersifat dengan Maha
Pengasih dan lagi Maha Penyayang kepada hamba-hambanya. Sebaliknya Allah membenci
kepada pelaku maksiat terhadapnya. Sebagaimana meninggalkan maksiat itu wajib,
maka memanfaatkan rukhsah juga wajib. Dan itu adalah pemahaman yang
betul tentang rukhsah.
Rukhsah
(keringanan) membawa maksud memberi kelapangan, keselesaan, dan kemudahan dalam
meninggalkan kewajiban-kewajiban tertentu, atau dibolehkan melakukan
larangan-larangan tertentu.
Bersumber dari Anas ra, ia berkata, “Aku solat
Zuhur di Madinah bersama Rasulullah SAW sebanyak 4 rakaat. Tetapi aku solat
Asar di Zul Halifah bersama Rasulullah SAW hanya 2 rakaat sahaja.” (HR Al-Bukhari dan Muslim).
Hadis tersebut menunjukkan bahawa orang yang hendak
bermusafir boleh dihukum sebagai musafir setelah ia keluar dari rumah di mana
ia tinggal. Kerana sesungguhnya Nabi SAW juga pernah keluar sebagai musafir dan
beliau hanya mengqasar solat setelah berada di daerah Zul Halifah yang berjarak
kira-kira 6 batu dari Madinah.
Hadis tadi juga menunjukkan bahawa orang yang keluar
bermusafir pada siang hari hendaklah melakukan solat qasar juga pada siang
hari. Ini berbeza dengan pendapat ulama yang mengatakan bahawa solat qasar
hanya boleh dilakukan setelah tiba waktu malam.
Bersumber dari Syu’bah dari Yahya bin Yazid, ia
berkata, “Aku bertanya kepada Anas tentang solat qasar.” Anas menjawab;
Rasulullah SAW jika bermusafir sejauh 3 batu atau tiga farsakh (Syu’bah
ragu-ragu) baginda hanya solat 2 rakaat”. (HR. Ahmad, Muslim dan Abu Daud)
Dalam
pengertian bahasa, 1 batu menurut Al-Jauhari ialah kira-kira jarak sejauh mata
memandang ke permukan tanah.
Ada
yang mengatakan, satu batu ialah jarak had pandangan orang yang bermata normal
kepada susuk tubuh orang yang berdiri di atas tanah yang rata, sehigga ia tidak
tahu adakah orang itu lelaki atau perempuan, dan adakah ia pergi atau datang.
Menurut
An-Nawawi, satu batu itu sama panjangnya dengan 6 ribu hasta. 1 hasta itu
bersamaan dengan 24 jari berukuran sederhana, dan 1 jari itu sama panjangnya
dengan 6 butir gandum berukuran sederhana. Dan kata Al-Hafiz Ibnu Hajar, inilah
pendapat yang paling masyhur.
Ada
yang mengatakan, satu batu itu panjangnya sama dengan 12 000 telapak kaki yang
normal. Ada pula yang mengatakan, satu batu sama panjangnya dengan 4 ribu
hasta.
Dan
ada pula yang mengatakan, 1 batu itu panjangnya sama dengan 3500 hasta. Hal ini
dibenarkan oleh Ibnu Abdul Barr. Sedangkan 1 farsakh itu bersamaan
dengan 3 batu.
Memang
terjadi perbahasan dan khilaf yang panjang di kalangan para ulama Islam
tentang batas jarak yang membenarkan seseorang melakukan solat qasar.
Kata
Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitabnya Fathul Bari, ada kira-kira dua puluh
pendapat tentang masalah ini, seperti yang diceritakan oleh Ibnu Al-Mundzir dan
lain-lain. Paling sekejap adalah jarak perjalanan selama sehari semalam, dan
yang paling lama ialah selama ia menghilang dari negeri itu.
Ada
pula yang mengatakan hanya sejauh 1 batu seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu
Abi Syaibah dengan sanad yang sahih dari Ibnu Umar r.anhma. Ibnu Hazm dari
mazhab Az-Zhahiri cenderung kepada pendapat ini. Ia berpegang pada kalimat 'pergi'
di dalam Al-Quran. Contohnya seperti firman Allah Taala dalam surah An-Nisa; ayat
101:
#sÎ)ur ÷Läêö/uÑ Îû ÇÚöF{$# ÇÊÉÊÈ
Maksudnya;
“Apabila kamu berpergian di muka bumi.” Dan juga dalam sunnah Rasulullah
SAW. Menurut dalam kitabnya, Al-Muhalla, Allah, Rasul-Nya, dan seluruh
kaum muslimin tidak pernah membuat syarat-syarat atau batasan mengenai apa yang
dimaksudkan dengan 'pergi'. Jadi pergi disini, walaupun dalam jarak
kurang dari satu batu. Tetapi pendapat ini disanggah dengan dalil yang sangat
kuat. Nabi SAW sering pergi ke perkuburan Baqi’ untuk ikut sama
mengebumikan orang-orang yang meninggal dunia. Dan beliau juga sering pergi ke
tanah lapang untuk keperluan mengqada hajat bersama beberapa orang sahabatnya.
Namun jelasnya mereka tidak pernah solat secara qasar pada waktu itu.
Seperti
yang dikatakan oleh Imam An-Nawawi, para ulama dari kalangan mazhab Zhahiri
hanya mengambil apa yang nampak dari segi zahir pada hadis Anas ra tersebut.
Menurut mereka, jarak minimum dibolehkan mengqasar solat itu 3 batu. Dan seperti
yang dikatakan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitabnya Fathul Bari,
hadis Anas tadi adalah hadis yang paling sahih dan paling tegas yang
menerangkan masalah ini.
Menurut
Imam As-Syafie, Imam Malik dan sahabat-sahabat keduanya, Al-Laits, Al-Auza'i, para
fuqaha yang juga ahli hadis, dan ulama-ulama lain, orang yang bermusafir sejauh
3 batu itu belum dibolehkan mengqasar solat. Yang dibenarkan ialah jarak dua marhalah
iaitu 48 batu Hasyimiyah, seperti yang disebut oleh An-Nawawi.
Menurut
Imam Abu Hanifah dan ulama-ulama Kufah, hukumnya tidak boleh mengqasar solat
dalam perjalanan yang kurang dari 3 marhalah. Ada yang mengatakan, 3 marhalah
itu sama dengan 24 farsakh.
Kata
Al-Hafiz Ibnu Hajar, ada riwayat dari Imam Al-Bukhari yang menunjukkan bahawa
jarak minima dibolehkan untuk solat
qasar adalah perjalanan sehari semalam dengan menaiki unta. (termasuk waktu
rehatnya)
Imam
Asy-Syaukani menyanggah beberapa dalil yang dijadikan pegangan ulama fiqh dalam
masalah ini. Menurutnya pendapat yang diyakini benar ialah bahawa jaraknya
adalah sejauh 3 farsakh, kerana menurut keterangan hadis dari Anas ra di atas,
jarak minimanya ialah 3 farsakh atau 3 batu. Kerana 3 farsakh itu lebih banyak
daripada 3 batu, maka untuk lebih berhati-hati adalah diambil mana yang lebih
banyak.
Jadi
dimanakah seorang musafir boleh mula mengqasar solat? Kata Ibnu Al-Munzir,
menurut ijma’ (kesepakatan) para ulama, seseorang yang hendak keluar
bermusafir itu boleh mengqasar solat ketika ia keluar dari rumah tempat ia
memulakan perjalanan. Dan mereka berbeza pendapat pada keadaan dibolehkan qasar
solat sebelum keluar dari rumah dan majoriti ulama berpendapat, hal itu berlaku
selepas keluar semua rumah.
Sebahagian
ulama Kufah berpendapat, apabila seorang hendak bermusafir hendaklah ia solat
dua rakaat terlebih dahulu di tempatnya. Sebahagian lagi tidak bersetuju dengan
pendapat itu. Ibu Al-Munzir bersetuju dengan pendapat pertama, berdasarkan ijma’
ulama bahawa seseorang boleh qasar solat selepas keluar meninggalkan rumah. Dan
yang mereka berselisih adalah qasar sebelum meninggalkan rumah. Berdasarkan
kesepakatan tersebut ia mesti melakukan solat secara sempurna atau penuh.
Soalnya Nabi SAW setiap kali keluar musafir, baginda SAW akan mengqasar solat
setelah keluar dari Madinah.
Menurut
saya inilah pendapat yang wajib diamalkan. Sebab pada hakikatnya alasan
mengqasar solat itu kerana adanya kesusahan. Jadi selama masih berada di tempat
tinggalnya, seseorang belum boleh disebut sebagai musafir, walaupun sudah
berniat akan bermusafir. Sedangkan orang yang menjadi objek hukum adalah
musafir, bukan yang akan menjadi musafir. Sebab kalau tidak demikian, orang
yang berniat akan membuat perjalanan dua hari sebelumnya, ia sudah boleh
menqasar solat selama dua hari tersebut. Tidak ada seorang pun yang bersetuju
dengan pendapat ini.
Adapun
tempoh akhir waktu dibolehkan menqasar solat dan wajib dilakukan secara sempurna
atau penuh, ialah apabila si musafir sudah memasuki sebuah bandar atau ia niat
akan tinggal di sana kerana ada urusan tertentu. Menurut Imam Malik, Imam
Asy-Syafie dan Imam Ahmad, seorang musafir menjadi orang yang bermukim apabila
ia berniat akan tinggal di sebuah bandar selama 4 hari penuh. Hal itu
berdasarkan larangan Nabi SAW kepada kaum Muhajirin untuk tinggal di Mekah
selama lebih dari 3 hari, kerana jika lebih dari itu mereka sudah tidak disebut
sebagai musafir lagi. Menurut mereka, masa 3 hari itu bukan waktu untuk
tinggal, tetapi waktu untuk menyelesaikan urusan-urusan mereka di kota tersebut.
Imam
Asy-Syaukani mengatakan, “Menurut Imam Abu Hanifah, seorang musafir mesti
melakukan solat secara sempurna atau penuh jika ia berniat untuk tinggal disebuah
kota selama 15 hari.” Ia berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas dan Ibnu Umar r.anhum
yang mengatakan, “Apabila kamu sebagai musafir dan kamu singgah disebuah
kota lalu kamu bermaksud akan tinggal selama lima belas malam, maka lakukan
solat secara sempurna.” Tetapi hal itu dibahas berdasarkan pendapat para
sahabat dalam masalah-masalah yang boleh diijtihadkan. Dan masalah ini termasuk
diantaranya.
Menurut
pendapat Al-Hasan, tempoh waktu menetapnya ialah 12 hari.
Menurut
Al-Qasimi, An-Nashir, ulama-ulama mazhab Imamiyah, dan Al-Hasan bin Shaleh,
berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas ra, orang yang mesti melakukan solat secara
sempurna ialah orang yang berniat untuk tinggal selama sepuluh hari. Mereka
berpandukan riwayat dari Ali ra yang mengatakan, orang yang tinggal selama 10
hari mesti melakukan solat secara sempurna atau penuh. Tetapi itu juga dibahas
kerana perkara itu termasuk masalah-masalah yang boleh diijtihadkan.
Menurut
Rabi'ah, had waktunya ialah sehari-semalam.
Menurut
Hasan Al-Basri, seorang musafir yang masuk ke kota ia dianggap bukan musafir
lagi, dan ia mesti melakukan solat secara sempurna atau penuh.
Menurut
Aisyah ra, tempoh waktunya ialah ketika seorang musafir sudah meletakkan
barang-barang yang dibawanya. Dan masih banyak lagi pendapat lain yang tidak sempat
saya sebutkan disini.
Imam
Yahya mengatakan, “Dalam masalah ini mereka tidak mempunyai sandaran dalil-dalil
yang kuat. Pendapat yang mereka kemukakan itu adalah berdasarkan ijtihad
masing-masing.” Menurut saya, memang benar apa yang dikatakan oleh Imam Yahya
ini.
Jadi
seorang musafir yang mula mejejakkan kakinya disana selama beberapa hari, dia
tidak disebut sebagai musafir lagi. Oleh itu, ia mesti melakukan solat secara
sempurna dan tidak boleh menqasarnya, kecuali jika berdasarkan dalil. Dan
satu-satunya dalil dalam masalah ini ialah hadis Anas ra yang menerangkan
bahawa Nabi SAW tinggal di Makkah selama empat hari (semasa menunaikan Haji Wada'),
dan baginda mengqasar solat. Padahal seorang musafir yang niat untuk tinggal
lebih dari 4 hari tidak boleh disebut sebagai musafir, yang bererti ia tidak
boleh mengqasar solat, apalagi jika ia berniat untuk tinggal selama
bertahun-tahun.
Cubalah
anda perhatikan baik-baik hadis riwayat Anas ini, supaya anda tahu sumber hukum
tersebut. Bersumber dari Yahya bin Abu Ishak, dari Anas ra, ia berkata; “Aku
keluar bersama Nabi SAW dari Madinah ke Makkah. Beliau hanya solat dua rakat
sehingga kami pulang ke Madinah kembali. Aku bertanya; Berapa lama anda tinggal
di Makkah?” Beliau menjawab, “Kami tinggal disana selama sepuluh hari,” (HR. Al-Bukhari
dan Muslim).
Waktu
sepuluh hari tersebut digunakan oleh Nabi SAW untuk tinggal di Makkah, pergi ke
Mina, lalu ke Arafah, lalu pulang kembali ke Mina, kemudian ke Makkah pula.
Menurut
Imam Ahmad, hadis Anas tersebut memang memang menunjukkan begitu. Untuk
memperkuatkan lagi hujahnya, ia merujuk hadis Jabir ra yang menyatakan bahawa
Nabi SAW tiba di Makkah pada pagi hari keempat Zulhijjah. Pada hari keempat,
kelima, keenam, dan ketujuh, baginda tinggal di Makkah. Setelah solat subuh
pada hari yang kelapan, beliau berangkat ke Mina. Dan pada hari-hari Tasyriq,
beliau meninggalkan Makkah menuju ke Madinah. Semua itu dijelaskan dalam hadis yang
terdapat dalam Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan kitab-kitab hadis lain.
Menurut
saya, pendapat Imam Malik, Imam As-Syafie, dan Imam Ahmad adalah yang paling
kuat dan berhati-hati. Para ulama yang mengatakan bahawa tempoh waktunya adalah
10 hari, atau 15 hari, mereka berpegang pada ijtihad yang dilakukan oleh
sejumlah sahabat; seperti Ali, Ibnu Abbas, dan Ibnu Umar r.anhum. Walau
bagaimanapun pun, ijtihad mereka perlu diambil kira. Ertinya, orang yang
berpegang pada ijtihad tersebut, bererti berpegang pada pendapat yang kuat. Wallahua'lam.
Adapun
para ulama yang mengatakan bahawa tempoh waktunya kurang dari 4 hari, mereka
tidak ada dalil sama sekali. Bahkan pendapat mereka bertentangan dengan apa
yang pernah dilakukan dan diberitahu oleh Nabi SAW.
ORANG YANG TIDAK
BERNIAT MENETAP DI SEBUAH TEMPAT IA BOLEH SOLAT SECARA QASAR WALAUPUN IA
TINGGAL DI SANA
Dari
Ibnu Abbas r.anhma, ia berkata;
“Rasulullah
SAW melakukan suatu perjalanan. Baginda menetap selama 19 hari dan solat dua
rakaat dua rakaat. Kami menetap di daerah antara tempat tinggal kami dan Makkah
selama Sembilan belas hari, dan juga solat dua rakaat dua rakaat. Dan ketika
kami menetap lebih dari itu kami solat empat rakaat.” (HR. Al-Bukhari,
Ahmad, dan Ibnu Majah)
Ucapan
Ibnu Abbas tadi menunjukkan bahawa ia berpendapat, jika orang yang keluar pergi
(ulang-alik) dan tidak berniat menetap, ia boleh mengqasar solat hanya selama
tempoh 19 hari saja. Setelah itu ia mesti melakukannya secara sempurna atau
penuh, kerana Nabi SAW juga mengqashar solat selama 19 hari pada peristiwa
pembukaan Kota Makkah.
Riwayat
dari Jabir ra, ia berkata, “Nabi SAW menetap di Tabuk selama 20 hari dan
mengqasar solat.” (HR. Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Hibban, dan Al-Baihaqi. Hadis
ini dinilai sahih oleh Ibn Hazm dan An-Nawawi, dan dianggap terdapat illat
oleh Ad-Daruquthni kerana mursal dan munqathi').
Para
ulama berbeza pendapat tentang tempoh waktu dimana seseorang musafir masih
dibenarkan mengqashar solat jika ia menetap disebuah kota, sementara ia perlu
ulang-alik tanpa ada niat menetap dalam jangka masa yang tertentu.
Menurut
Imam Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya, Imam Yahya, Imam Malik, dan Imam
Ahmad, ia boleh mengqashar solat selama-lamanya. Pendapat ini juga dikutip dari
Imam As-Syafie.
Imam
An-Nawawi berkata, “Menurut pendapat kami, ia hanya boleh mengqashar solat
selama 18 hari saja.” Dan dikuatkan oleh As-Syaukani, “Ia hanya boleh solat
secara qasar selama 20 hari, seperti yang ditegaskan dalam hadis dari Jabir ra.
Tidak benar kalau orang tersebut boleh mengqasar lebih dari itu, apalagi untuk selama-lamanya.”
Ibnu Abbas r.anhma juga mempunyai pendapat lain seperti yang telah disebut di
atas tadi.
Saya
cenderung memihak kepada pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad, dan
Imam Asy-Syafie tadi. Alasannya, kerana hukum orang yang ulang-alik itu sama
seperti bermusafir, dan juga kerana Rasulullah SAW sendiri tidak pernah
melakukan solat secara sempurna (penuh) ketika beliau tidak ada sebab untuk
tinggal atau menetap.
DALIL
JAMAK DIANTARA DUA SOLAT
Bersumber
dari Anas bin Malik ra, ia berkata;
“Adalah
Rasulullah SAW apabila naik kenderaan untuk berpergian sebelum matahari
tergelincir, baginda menangguhkan solat Zuhur kepada solat Asar. Lalu baginda turun
sebentar untuk menjamakkan dua solat tersebut. Dan apabila baginda berangkat
selepas itu (gelincir matahari), baginda terlebih dahulu solat Zuhur, kemudian
menaiki kenderaan.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam
riwayat Muslim: “Apabila ingin menjamak kedua solat tersebut dalam
perjalanan, baginda SAW menangguhkan solat Zuhur sehingga masuk permulaan waktu
Asar, kemudian baginda menjamak kedua-duanya.”
Hadis
ini menunjukkan tentang menjamak dua solat ketika dalam perjalanan. Dan para
ahli fiqh berbeza pendapat mengenai hukumnya.
Sebahagian
besar sahabat, tabiin dan beberapa ulama fiqh seperti As-Tsauri, Asy-Syafie,
Ahmad, Ishak, dan Asyhab, berpendapat bahawa hukumnya boleh secara mutlak, baik
jamak taqdim atau ta'khir. Mereka berpegang pada beberapa hadis yang
menerangkan tentang hal tersebut.
Ada
sebahagian ulama yang berpendapat, tidak boleh menjamak solat secara mutlak
kecuali di Arafah dan Muzdalifah ketika ibadah haji. Ini adalah pendapat
Al-Hasan, Ibrahim An-Nakha'i, dan Imam Abu Hanifah dan dua sahabatnya. Menurut
mereka, yang dimaksudkan dengan jamak (himpun) itu adalah seperti menangguhkan
solat Maghrib hingga akhir waktunya, dan melakukan solat Isyak pada permulaan
waktunya. Itu yang dimaksudkan menjamak dalam hadis-hadis diatas.
Tetapi
pendapat mereka itu ditolak. Adakah yang mereka maksudkan itu boleh diterima
jika dikaitkan dengan jamak taqdim? Bagaimana boleh diterima ada orang
melakukan solat Asar sesudah solat Zuhur pada permulaan waktu Zuhur? Atau bagaimana
boleh diterima orang yang melakukan solat Isyak sesudah solat Maghrib pada
permulaan waktu Maghrib?
Lagipun
hadis-hadis tersebut secara tegas menyatakan tentang menjamak dua solat menjadi
satu diantara kedua-dua waktunya, bukan melakukan solat-solat dalam waktunya
sendiri. Sebagaimana juga dikatakan oleh para ulama dari mazhab Hanafi, bahawa
kesusahan yang dialami oleh kaum muslimin ketika dalam perjalanan adalah alasan
kenapa mereka dibenarkan menjamak solat. Ia adalah untuk meringankan, bukan memberatkan.
Menurut
pendapat Al-Laits bin Sa'ad yang juga pendapat masyhur dari Imam Malik, bahawa
menjamak solat itu hanya khusus bagi orang yang sedang bersungguh-sungguh
(betul-betul) dalam perjalanan.
Bahkan
menurut Ibnu Habib, hal itu hanya khusus berlaku bagi orang yang berjalan kaki
dan tidak mempunyai bekal perjalanan yang cukup. Maksudnya hanya musafir
seperti itulah yang dibenarkan menjamak solat.
Dalilnya
ialah kata-kata Ibnu Umar r.anhma: “Nabi SAW menjamak antara solat Maghrib
dan solat Isyak ketika beliau sedang bersungguh-sungguh mengadakan perjalanan.”
(HR. Al-Bukhari).
Ibnu
Habib juga berdalilkan ucapan Ibnu Abbas seperti yang juga diriwayatkan oleh
Al-Bukhari, “Rasulullah SAW menjamak antara solat Zuhur dan solat Asar ketika
beliau mengalami perjalanan yang sangat berat. Dan beliau juga menjamak antara
solat Maghrib dan solat Isyak.”
Kata
Al-Auzaie: “Sesungguhnya menjamak solat ketika dalam perjalanan itu khusus bagi
orang yang mengalami keuzuran.”
Menurut
pendapat Imam Ahmad yang disokong oleh Ibnu Hazm dan dari Imam Malik, yang
dibenarkan adalah jamak ta'khir, bukan jamak taqdim, berdasarkan hadis riwayat
Anas ra yang telah lepas.
Setelah
menyebutkan beberapa hadis tentang jamak taqdim, As-Syaukani mengatakan, “Saya
tahu bahawa diantara diantara hadis-hadis ini ada yang sahih dan ada yang
hasan. Ini sebagai penolakan atas ucapan Abu Dawud bahawa: “Untuk jamak taqdim
tidak ada dasar hadisnya sama sekali.” Berdasarkan hal ini, maka melakukan
jamak taqdim ketika perjalanan itu adalah boleh”
Selanjutnya
As-Syaukani juga mengatakan, “Ini sekali gus juga menolak pendapat orang yang
mengatakan bahawa menjamak solat itu hanya khusus berlaku bagi orang yang
sedang bersungguh-sungguh mengadakan perjalanan sahaja, berdasarkan hadis Muaz
bin Jabal ra seperti yang terdapat dalam Al-Muwattha', “Sesungguhnya pada
suatu hari Nabi SAW menangguhkan solat dalam peperangan Tabuk. Kemudian baginda
keluar lalu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar sekaligus. Setelah masuk,
beliau keluar lagi dan menunaikan solat Maghrib dan Isyak sekaligus (bersama).”
Kata
Asy-Syafie di dalam kitabnya Al-Umm, kalimat “setelah masuk, lalu
baginda keluar lagi” ini menunjukkan bahawa beliau sedang berhenti. Jadi
seorang musafir itu dibenarkan menjamak solat dalam keadaan berhenti atau
ketika sebagai musafir. Dan menurut Ibnu Abdul Barr, ini merupakan dalil yang
kuat untuk menolak pendapat yang mengatakan bahawa menjamak solat itu hanya khusus
berlaku bagi orang yang betul-betul sedang berjalan.
Al-Hafiz
Ibnu Hajar mengatakan, “Nabi SAW melakukan solat jamak seperti itu seolah-olah
menjelaskan bahawa hal itu dibenarkan, meskipun yang sering beliau lakukan
ialah jamak ta'khir seperti yang dikemukakan dalam hadis dari Anas ra. Oleh
kerana itulah ulama-ulama dari kalangan mazhab Asy-Syafie mengatakan, “Tidak
menjamak itu lebih utama.” Tetapi menurut Imam Malik, hal itu hukumnya makruh.
Ibnu
Qayyim di dalam kitabnya Al-Hadyu mengatakan, “Apa yang dilakukan oleh
Nabi SAW untuk menjamak solat hanyalah ketika beliau sedang berhenti di Arafah
untuk bersiap-siap melakukan wuquf, seperti yang dikatakan oleh Asy-Syafie dan
guru kami Ibnu Taimiyyah. Oleh kerana itulah, Imam Abu Hanifah melakukan
perkara itu hanya khusus di Arafah sahaja, dan menjadikannya sebagai
kesempurnaan ibadah haji. Masalah ini juga masih mengundang perselisihan
pendapat diantara para ulama. Menurut Imam Asy-Syafie dan Imam Ahmad dalam satu
riwayat yang dikutip daripadanya, mereka membolehkan solat secara jamak ketika
sedang berhenti bagi orang yang menempuhi perjalanan panjang dan meletihkan.
Jadi dengan kata lain, mereka tidak membolehkan hal itu dilakukan oleh penduduk
Mekah. Sedangkan dalam riwayat lain, Imam Malik dan Imam Ahmad membolehkan
penduduk Mekah menjamak dan mengqasar solat di Arafah. Guru kami Ibnu Taimiyyah
dan Abu Al-Khattab memilih untuk melakukannya. Pada pendapat beliau (Ibnu
Taimiyyah), inilah yang dijadikan dasar yang membolehkan untuk jamak dan qasar
solat bagi orang yang menempuhi perjalanan jauh atau pendek, sebagaimana pendapat
yang dipegang sebahagian besar ulama-ulama salaf. Sementara Imam Malik dan Abu
Al-Khattab menganggap perkara itu hanya khusus untuk penduduk Mekah sahaja.
Rasulullah
SAW sendiri tidak pernah memberi syarat-syarat yang pasti kepada umatnya
tentang jarak yang membenarkan seseorang untuk melakukan solat qasar dan
berbuka ketika puasa Ramadhan. Beliau menyerahkan masalah ini kepada mereka
untuk mendefinisikan sendiri tentang makna dan tempoh perjalanan atau
bermusafir, seperti halnya yang berlaku dalam masalah tayamum, yang mana
riwayat yang mengatakan dalam tempoh waktu sehari atau dua hari, atau tiga
hari, adalah riwayat yang sama sekali tidak sahih. Wallahua'lam.” Dan pendapat
Ibnu Qayyim Ini adalah satu penutup yang sangat baik.
No comments:
Post a Comment