CARA SOLAT BAGI ORANG YANG SAKIT
Orang yang sakit itu kadang-kadang
ada yang masih berupaya dan mampu untuk melakukan solat seperti orang yang
sihat. Tetapi ia tidak mampu untuk melakukan sebahagian rukun dan kewajipan
solat. Perkara ini memerlukan penjelasan yang terperinci.
1.Orang sakit tetapi masih mampu untuk
berdiri, maka ia mesti solat dengan berdiri. Orang yang tidak mampu berdiri
kecuali dengan bersandar kepada dinding, atau dengan tongkat, dan sebagainya
maka wajib berdiri dengan cara tersebut. Sesiapa yang hanya boleh berdiri
separuh, maka wajib berdiri sekadar itu. Jika tidak mampu, maka ia bolehlah
duduk. Dan orang sakit yang mampu berdiri ketika solat bersendirian tetapi
tidak mampu berdiri ketika solat berjemaah, maka ia mesti memilih solat secara
berjemaah walaupun tidak mampu untuk berdiri. Ada pendapat mengatakan, ia mesti
memilih solat bersendirian dengan cara berdiri.
2.Orang sakit yang mampu berdiri tetapi
ia tidak mampu rukuk dan sujud, ia mestilah solat dalam keadaan berdiri juga.
Kemudian memadai ia rukuk dengan menggunakan isyarat kemudian duduk jika boleh
kemudian memadai ia sujud dengan isyarat. Jika tidak mampu, ia dboleh sujud
dalam keadaan berdiri. Bagi yang mampu solat berdiri tetapi ia tidak mampu
untuk rukuk dan sujud, maka sebahagian ulama feqah berpendapat bahawa ia
dibolehkan solat dalam keadaan berdiri kemudian rukuk dan sujud dengan
menggunakan isyarat atau ia solat dalam keadaan duduk dan melakukan rukuk dan
sujud menggunakan isyarat.
Erti tidak mampu berdiri ini boleh
dimaksudkan dengan makna yang sebenar atau dari segi hukum. Seperti seseorang
yang jika berdiri boleh menambahkan kesakitan, melambatkan penyembuhan, pening
kepala, menimbulkan kesakitan yang amat sangat, atau selalu mengeluarkan air
kencing jika ia berdiri, atau selalu terbuang angin, dan sebagainya.
3. Lebih utama bagi
mereka yang solat dengan cara duduk untuk bersila walaupun ia dibolehkan duduk
dengan pelbagai keadaan.
4. Orang sakit yang
boleh duduk tetapi tidak mampu untuk sujud, maka selepas rukuk ia boleh sujud dengan hanya memberi isyarat. Dan
jika ia tidak mampu untuk rukuk dan sujud, maka dibolehkan melakukan keduanya
dengan isyarat. Tetapi isyarat untuk sujud mestilah lebih rendah daripada
isyarat rukuk. Dan tidak perlu mengangkat sesuatu pun untuk digunakan ketika
sujud, kerana kewajibannya hanya dengan memberikan isyarat. Dan mengangkat sesuatu benda untuk
digunakan ketika isyarat sujud boleh menganggu kewajiban tersebut. Sekiranya ia
meletakkan sesuatu benda lalu digunakan untuk sujud maka solatnya sah tidak
dihukum haram dan makruh kerana isyarat hanyalah mengikut kemampuan yang
terjadi dengan syarat benda yang digunakan untuk sujud mestilah serendah yang
mungkin.
5. Orang sakit yang
tidak mampu duduk atau boleh duduk tetapi dengan cara bersandar dan ia mampu
duduk tetapi dilarang oleh dotor, maka wajib ia solat dalam keadaan tidur
secara miring atas lambung kanan atau mana yang boleh dengan wajahnya menghadap
kearah kiblat. Kemudian ia melakukan sujud dan rukuk dengan isyarat dan isyarat
sujudnya mestilah lebih rendah daripada rukuk seperti yang telah diberitahu
diatas. Jika ia tidak mampu untuk miring seperti itu, ia boleh tidur berbaring
sambil menghadapkan wajah kearah kiblat. Untuk membolehkan ia menghadap kiblat
dalam keadaan seperti ini, maka digunakan bantal dengan meletakkan di bawah
kepalanya supaya wajahnya boleh menghadap kiblat.
Sekiranya orang yang sakit solat
dalam keadaan tidur berabaring padahal ia boleh tidur miring di atas
lambungnya, maka solatnya tetap sah tetapi makruh. Dan ada yang mengatakan sah
dan tidak makruh.
6.
Orang sakit yang tidak mampu untuk memberi isyarat
rukuk ataupun sujud, ia dibolehkan untuk memberi isyarat dengan mata dan
diniatkan dalam hati. Dan walau dalam keadaan mana sekalipun sakit yang
menimpa, tidak gugur keawajipan solat keatasnya selama mana ia masih dalam
keadaan sedar. Sebahagian ulama feqah berpendapat, ia tidak diwajibkan solat
lagi sekiranya dengan isyarat pun sudah tidak mampu untuk solat. Adapun orang
yang sudah hilang akal, ia tidak wajib solat sama sekali dan hal-hal ini telah
dibincangkan dalam bab-bab tentang orang-orang yang wajib menunaikan solat.
7.
Dan orang yang kedua-dua tangannya patah sehingga
lengan, dan patah kedua-dua kakinya sehingga betis, maka menurut sebahagian
ulama feqah tidak wajib lagi solat ke atasnya.
8.
Orang yang pada permulaan solatnya dalam keadaan
sihat, akan tetapi di pertengahan solatnya ia tiba-tiba jatuh sakit, maka ia
mesti menyelesaikan solat mengikut kemampuannya.
9.
Orang yang permulaan solatnya dalam keadaan sakit yang
membolehkannya memberi isyarat ketika rukuk dan sujud, akan tetapi di
pertengahan solat ia tiba-tiba sembuh maka ia mesti menyelesaikan solat
mengikut kemampuannya. Jika ia boleh berdiri, rukuk, dan sujud, maka itulah
yang wajib dilakukannya. Sekiranya tidak dilakukan maka batal solatnya kerana
ia dikira telah meninggalkan rukun solatnya tanpa sebarang keuzuran.
10. Diantara
kelebihan Allah SWT dan bukti kasih saying-Nya yang dianugerahkan kepada
hamba-hamba-Nya ialah orang sakit yang solat secara duduk atau yang hanya solat
dengan memberi isyarat kerana keuzuran, pahalanya tetap sama seperti pahala
orang-orang yang solat secara biasa tanpa dikurangkan sedikit pun. Berikut
adalah dalil-dalil serta hujah di atas apa yang telah saya kemukakan di atas.
Dalil-Dalil Bagi Solat Orang Sakit
Dari Imran bin Hussain, ia berkata:
“Aku menderita penyakit buasir, lalu aku bertanya kepada Nabi
SAW tentang bagaimana untuk aku melakukan solat. Baginda bersabda:
((صل قائما, فإن لم تستطع فقاعدا, فإن لم تستطع فعلى جنبك))
Maksudnya: “Jika kamu tidak mampu berdiri, solatlah dengan
duduk,dan jika kamu juga tidak mampu duduk maka solatlah dengan
berbaring.” (HR. Jamaah kecuali Muslim)
Ditambah oleh An-Nasai:
((فإن لم تستطع فمستلقيا, لا يكلف الله
نفسا إلا وسعها))
Maksudnya: “Jika tidak mampu berbaring, Allah tidak akan membebani
seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.”
Dari Ali bin Abu Thalib ra, dari Nabi SAW, baginda bersabda:
((يصلي المريض قائما إن استطاع, فإن لم
تستطع صلى قاعدا, فإن لم يستطع أن يسجد أومأ برأسه, وجعل سجوده أخفض من ركوعه, فإن
لم يستطع أن يصلى قاعدا صلى على جنبه الأيمن, مستقبل القبلة, فإن لم يستطع أن يضلى
على جنبه الأيمن صلى مستلقيا رجلاه مما يلي القبلة))
“Orang yang sakit itu solat dengan berdiri jika ia memang
mampu, kalu tidak mampu maka solat secara duduk. Kalau tidak mampu sujud, maka
ia boleh sujud dengan menggunakan isyarat dengan kepalanya, dan kedudukan
isyarat untuk sujud mesti lebih rendah daripada isyarat rukuk. Jika tidak mampu
solat secara duduk maka ia boleh solat dengan berbaring dengan lambung sebelah
kanan sambil menghadap kiblat. Jika tidak mampu dengan tidur di atas lambung
kanan, ia boleh solat dengan melentangkan kedua kakinya sambil menghadap
kiblat.” (HR.
Ad-Daruquthni. Kata An-Nawawi: Hadis ini Dhaif tetapi dikuatkan dengan hadis
sebelumnya tadi.)
Hukum yang dikeluarkan oleh ulama-ulama fiqh dari dua hadis
ini sama dengan apa yang telah dikemukakan di atas.
No comments:
Post a Comment