SOAL
JAWAB TENTANG AYAT-AYAT MAWARITS
Soalan :
Adakah ayat-ayat lain yang berkaitan dengan mawarits
(harta warisan) selain daripada yang disebutkan di atas?
Jawapan :
Memang ada lagi ayat
lain selain dari tiga ayat di atas tetapi ia menunjukkan secara umum sahaja pada menceritakan hak-hak ahli waris.
Ayat itu menceritakan bahawa kaum kerabat (ahli keluarga) berhak mendapat warisan.
Itu saja yang diceritakan dan tidak disebutkannya tentang bahagian setiap ahli
waris.
Ayat- ayat yang dimaksudkan ialah :
Ertinya:
Dan orang-orang Yang
beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu,
maka adalah mereka dari golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang Yang
mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya Yang
(lain) menurut (hukum) Kitab Allah; Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan
tiap-tiap sesuatu.
(Al-Anfal: 75)
Firman Allah dalam surah Al- Ahzab :
Ertinya:
Nabi itu lebih menolong
dan lebih menjaga kebaikan orang-orang Yang beriman daripada diri mereka
sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka. dan orang-orang Yang
mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak (mewarisi) akan
setengahnya Yang lain - menurut (hukum) Kitab Allah - daripada orang-orang Yang
beriman dan orang-orang Muhajirin (yang bukan kerabatnya), kecuali kalau kamu
hendak berbuat baik kepada sahabat-sahabat karib kamu. hukum Yang demikian itu
adalah tertulis Dalam Kitab Allah.
(Al-Ahzab : 6)
Firman Allah dalam surah An-Nisa’:
Ertinya:
Orang-orang lelaki ada
bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang
perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama
ada sedikit atau banyak dari harta Yang ditinggalkan itu; Iaitu bahagian Yang
telah Diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).
(An-Nisa : 7)
Ayat
pertama dan kedua menunjukkan bahawa kaum kerabat atau orang yang ada pertalian
darah lebih berhak daripada oang lain yang tidak ada pertalian darah dengan si
mati. Ahli kerabat lebih berhak daripada orang lain yang pertalian dengannya
hanya sekadar saudara seagama atau sama-sama berhijrah misalnya.
Pada
awal pembentukan negara Islam dahulu, orang yang sama-sama berhijrah saling
mewarisi, begitu juga antara orang Ansar dan Muhajirin yang dipersaudarakan
oleh Rasulullah S.A.W. Orang Muhajirin mewarisi harta orang Ansar, begitu juga
sebaliknya, dan bukan kaum kerabatnya yang mewarisi hartanya.
Keadaan
itu berterusan sehinggalah agama Islam kuat setelah terjadinya penaklukan
Makkah. Setelah Islam kuat, turunlah ayat yang mengatakan kaum kerabat lebih
berhak daripada orang lain yang pertalian dengannya hanya sekadar saudara
seagama atau sama-sama berhijrah.
Dalam
ayat ketiga di-atas, Allah menghapuskan kezaliman dan memberikan bahagian
kepada dua golongan makhluk yang lemah, iaitu kaum wanita dan kanak-kanak.
Dengan turunnya ayat itu bererti tidak dibezakan antara yang tua dan muda,
antara yang besar dan kecil, lelaki dan wanita, semuanya mendapat bahagian.
Tidak kira sama ada harta yang ditinggalkan itu sedikit atau banyak dan sama
ada yang mewariskan itu setuju atau tidak.
Ayat
di atas berbentuk umum, hanya menerangkan siapa yang patut dapat dan tidak
menyebutkan berapa bahagiannya. Sedangkan ayat-ayat sebelumnya lebih
terperinci. Disana diterangkan berapa bahagian masing-masing sehingga ayat
itulah yang menjadi tiang atau sandaran dalam ilmu faraid.
MENGAPA
LEBIH BANYAK BAHAGIAN LELAKI?
Kadang-kadang
ada yang bertanya : “Mengapakah bahagian lelaki dua kali bahagian perempuan
sedangkan perempuan kaum yang lemah dan lebih memerlukan harta?”
Jawabnya,
syariat Islam membezakan bahagian lelaki dan wanita kerana sebab atau hikmah
sebagaimana yang berikut ;
Pertama,
kaum wanita ditanggung nafkahnya. Orang yang wajib menanggung nafkahnya ialah
anaknya, ayahnya, saudaranya atau kaum kerabat lainnya.
Kedua,
kaum wanita tidak berkewajipan memberi nafkah kepada sesiapa pun. Tidak seperti
lelaki yang wajib memberi nafkah kepada ahli keluarganya.
Ketiga,
keperluan lelaki lebih banyak dan tangunggjawabnya lebih berat. Bereti kaum
lelaki lebih memerlukan harta daripada kaum wanita.
Keempat,
lelaki wajib memberi mahar kepada isterinya. Setelah berkahwin, lelaki wajib
menyediakan tempat tinggal, memberi makan, dan juga pakaian kepada isteri dan
anak-anaknya.
Dan
kelima, lelaki wajib menanggung biaya persekolahan anak-anaknya, biaya perubatan
dan sebagainya.
Banyak
lagi contoh lain yang menjadi tanggungjawab lelaki. Semuanya ditanggung oleh
lelaki dan bukan wanita, sesuai dengan firman Allah S.W.T :
Hendaklah orang Yang
mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa Yang di sempitkan
rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa Yang diberikan Allah
kepadanya (sekadar Yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan
(sekadar kemampuan) Yang diberikan Allah kepadaNya. (orang-orang Yang Dalam
kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah
berlakunya kesusahan.
(At-Thalaq:7)
Sekarang
jelaslah bagi kita bahawa mengapa Allah S.W.T membezakan bahagian lelaki dan
wanita. Orang yang lebih berat tanggungjawabnya dan pembiayaannya, sudah tentu
lebih layak mendapat bahagian yang lebih sedikit.
Walaupun
Islam menetapkan bahagian lelaki dua kali daripada bahagian wanita, tetapi
wanita lebih beruntung lagi. Kaum wanita dianggap beruntung kerana mereka ikut
juga mendapat bahagian walaupun tidak mempunyai sebarang tanggungjawab. Kaum
wanita ikut menerima sahaja tanpa perlu memberi. Mereka ikut mendapat harta
walaupun tidak ikut memikul tanggungjawab untuk
menutupi keperluan rumah tangga.
Menurut
Islam, kaum wanita tidak wajib memberikan sebahagian hartanya untuk keperluan
hidupnya sendiri dan juga anak-anaknya, walaupun dia mempunyai banyak harta,
jika suaminya ada. Sebab suaminyalah yang berkewajipan menanggung nafkah isteri
dan anak-anaknya. Nafkah yang dimaksudkan termasuklah menyediakan tempat tinggal,
memberi makan dan pakaian.
Firman Allah S.W.T :
Dan kewajipan bapa pula
ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara Yang sepatutnya.
tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.
(Al-Baqarah:233)
Untuk
membuktikan cara yang ditetapkan Islam ini (bahagian lelaki dan perempuan)
dengan lebih adil dan sesuai, marilah kita lihat contoh di bawah ini.
Misalnya,
ada orang meninggal dunia meninggalkan dua orang anak sahaja, seorang lelaki
dan seorang perempuan. Dia meninggalkan harta sebanyak RM 3,000.00. Bahagian
masing-masing menurut Islam :
Anak
lelaki RM 2,000.00
Anak
perempuan RM 1,000.00
Jumlah RM 3,000.00
Katakan
misalnya kedua-dua anak itu sudah berada di ambang perkahwinan. Katakan saja
maharnya dua ribu ringgit, bererti anak lelaki terpaksa membayar mahar sebanyak
RM2,000.00. Kalau terjadi seperti itu bererti harta warisan yang dia perolehi
hanya cukup untuk membayar mahar. Setelah terjadi perkahwinan, dia terpaksa
menyediakan tempat tinggal isterinya dan memberikan nafkah lainnya.
Sedangkan
anak perempuan, dia akan mendapat mahar daripada suaminya. Kalau maharnya
RM2,000.00 bererti dia sudah mempunyai wangRM3,000.00 jika dikumpul dengan
harta peninggalan ayahnya.
Setelah
berlangsung perkahwinan, dia tidak mempunyai sebarang tangunggjawab walaupun
wangnya banyak. Nafkahnya ditanggung oleh suaminya selama dia berada dalam
tanggungjawabnya.
Bererti harta anak perempuan itu bertambah
sedangkan harta anak lelaki berkurang. Harta warisan yang dia perolehi dari
ayahnya bertahan dan bertambah. Sedangkan anak lelaki, harta warisan itu habis
kerana tanggungjawabnya yang banyak dan berat.
Kalau
begitu siapa yang lebih beruntung dan lebih banyak hartanya, anak lelaki atau
perempuan? Siapa yang mengatakan kaum wanita dianak-tirikan atau dizalimi?
NASIB
WANITA SEBELUM ISLAM
Sebelum
terbitnya matahari (cahaya) Islam, kaum wanita tidak mendapat bahagian dalam
harta warisan. Mengapa demikian? Kerana kononnya mereka tidak ikut berperang
dan tidak ikut menjaga kepentingan keluarga. Orang Arab Jahiliah berkata :
“Untuk apa kami memberikan bahagian kepada orang yang tidak ikut menunggang
kuda dan tidak ikut mengangkat pedang untuk melawan musuh?”. Mereka tidak
memberikan sebarang harta warisan kepada kaum wanita, begitu juga kepada anak
yang masih kecil.
Dari
fakta sejarah ini jelaslah bagi kita bahawa Islam datang kepada masyarakat Arab
yang sedang menzalimi hak-hak kaum wanita. Kaum wanita tidak mendapat sesuatu
dari peninggalan suami mereka atau ayah mereka.
Maka
syariat Islam yang adil dan bertimbang rasa itu, melalui ayat-ayat Al-Quran,
memberikan bahagian kepada kaum yang lemah tadi. Kaum wanita mendapat
perhatian, penghormatan dan juga pembelaan. Bahagian yang ditetapkan untuk
mereka itu bukan kerana ihsan atau belas kasihan kaum lelaki, tetapi bahagian
yang sudah ditetapkan Allah untuk mereka.
Ketika turun ayat yang memberikan bahagian kaum wanita,
masyarakat Arab jahiliah merasa keberatan. Mereka sangat mengharapkan ayat itu
dinasakh atau dihapuskan kerana ianya sangat bertentangan dengan adat tradisi
mereka.
Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir, dari Ibnu Abbas, bahawa
beliau berkata: “Ketika turun ayat-ayat Mawarits yang menerangkan bahagian setiap
ahli waris, termasuk anak lelaki dan perempuan, begitu juga bahagian ayah dan
ibu, maka ada sebahagian anggota masyarakat yang tidak setuju.
Mereka berkata: “Seorang perempuan mendapat seperempat
atau seperlapan, anak perempuan mendapat separuh, bahkan anak yang masih kecil
pun mendapat bahagian. Padahal mereka tidak ikut mengangkat senjata ke medan
perang.”
Mereka
berkata kepada kawan-kawan mereka; “Biarkan
saja dahulu (jangan dibantah), mudah-mudahan Rasulullah S.A.W lupa atau
kita minta nanti supaya peraturan ini dipinda.” Tidak lama kemudian, mereka
berkata kepada Rasulullah S.A.W ; “Mengapa anak kecil mendapat bahagian
sedangkan dia tidak memerlukannya? Mengapa diberikan separuh kepada anak
perempuan sedangkan dia tidak ikut mengangkat pedang atau berperang?”
Demikianlah Islam datang mengangkat darjat kaum wanita
dan membela mereka sehingga mendapat harta warisan menurut yang sewajarnya.
Mereka mendapat warisan setelah sebelumnya tidak mendapat apa-apa, mereka
mendapat separuh walaupun ramai yang tidak setuju ketika itu.
Namun sekarang ini muncul kelompok yang kononnya ingin
memperjuangkan hak-hak kaum wanita. Mereka sebenarnya orang yang tidak tahu
hakikat keadilan, berfikiran sempit, tidak tahu sejarah dan pemikiran mereka
itu sesat dan membahayakan.
Mereka berkata: “Islam telah menganak-tirikan kaum wanita
dengan menjadikan bahagian mereka hanya separuh daripada kaum lelaki.” Kononnya
mereka ingin membela nasib kaum wanita supaya bahagiannya sama dengan kaum
lelaki. Mereka sebenarnya kumpulan serigala yang memakai pakaian manusia atau
boleh juga dikatakan sebagai musang berbulu ayam. Mereka mengaku sebagai
pejuang hak asasi manusia dan ingin menyamakan kaum wanita dengan lelaki.
Anehnya, mereka yang mengaku sebagai pejuang hak-hak
wanita, yang menangisi kaum wanita atau berpura-pura menangis, merekalah orang
yang tidak bertanggungjawab kepada kaum wanita dan sangat bakhil. Mereka tidak
bersedia menanggung kehidupan kaum wanita dan tidak bersedia memberikan
nafkahnya.
Dengan
cara hidup yang mereka canangkan, kaum wanita terpaksa keluar rumah mencari
penghidupan. Sektor yang mereka ceburi termasuklah yang banyak mendatangkan
fitnah dan bahaya, termasuk kerja pada waktu malam. Dengan konsep yang mereka
kemukakan, kaum wanita terpaksa menanggung dirinya sendiri.
Mereka
sebenarnya sudah terpengaruh dengan pemikiran Orientalis. Orang barat
sebenarnya membuat tipu muslihat terhadap kaum wanita. Mereka nampak seperti
membela kaum wanita tetapi tidak ada yang mereka harapkan dari kaum ini kecuali
untuk pemuas nafsu. Mereka tidak memberi nafkah kepada kaum wanita dan tidak
memberi kebebasan kepadanya mengadakan urusan dan transaksi kecuali atas izin
suaminya.
Dengan
konsep yang mereka kemukakan ini, kaum wanita terpaksa bekerja untuk menyara
hidupnya sehingga terdedah kepada fitnah dan bahaya. Kemudian mereka menuduh
Islam telah menzalimi dan menganak-tirikan kaum wanita.
SEBAB
TURUNNYA AYAT-AYAT MAWARITS
Ayat-ayat
yang menceritakan tentang mawarits (harta warisan) turun disebabkan kes atau
kejadian tertentu. Ini ada disebutkan dalam hadis Sahih Bukhari dan Muslim.
Menurut riwayat, seorang wanita (isteri Sa’ad bin Rabi’) pergi menjumpai
Rasulullah S.A.W dengan membawa dua orang anaknya yang perempuan.
Wanita
itu berkata: “Wahai Rasulullah S.A.W, mereka berdua adalah anak Sa’ad bin Rabi’
yang ikut berperang bersama tuan dan gugur sebagai syahid. Bapa saudara mereka
telah mengambil semua peninggalan Sa’ad dan tidak meninggalkan sesuatu pun untuk
mereka. Dan mereka tidak boleh dikahwinkan kecuali kalau ada harta.”
Mendengar
yang demikian Rasulullah S.A.W menjawab: “Tunggulah Allah S.W.T. memutuskan
hukumnya nanti.” Maka turunlah ayat yang berkaitan dengan harta warisan :
Ertinya:
Allah perintahkan kamu
mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, Iaitu bahagian
seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.
(An-nisa’ : 11)
Kemudian
Rasulullah S.A.W mengutus orang kepada saudara Sa’ad dengan arahan seperti
berikut: “Berikan kepada dua orang anak perempuan Sa’ad dua pertiga, kepada isterinya seperlapan dan
bakinya untuk engkau.”
Menurut
satu lagi riwayat, ayat itu turun menceritakan tentang Abdul Rahman bin Tsabit.
Beliau mati meninggalkan seorang isteri yang dipanggil Ummu Kahhah. Dia juga
mempunyai lima orang saudara perempuan dan ahli waris yang terdiri dari kaum
lelaki. Tiba-tiba ahli waris dari kaum lelaki datang mengambil semua harta itu.
Ummu Kahhah pergi mengadukan nasibnya kepada Rasulullah S.A.W, kemudian
turunlah ayat di atas.
Riwayat
mana pun yang paling shahih, ayat itu turun untuk membela kaum wanita. Sebelum
turun ayat-ayat itu, mereka tidak mendapat bahagian dari peninggalan kaum
keluarga mereka yang meninggal dunia.
No comments:
Post a Comment